Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said, Azmah Haji Ahad
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. - Tema Belanjawan bagi tempoh lima tahun bermula Tahun Kewangan 2026 / 2027 hingga Tahun Kewangan 2030 / 2031, iaitu 'Bersama Menjayakan Wawasan Brunei 2035" atau 'Together Achieving Wawasan Brunei 2035' akan memfokuskan kepada tiga keutamaan.
Pertama, 'Memperkukuh Kestabilan Fiskal dan Tadbir Urus Kewangan'; kedua, 'Memperkasa Ekonomi melalui Transformasi dan Inovasi'; dan ketiga, 'Menjamin Kelestarian Sosial dan Pembangunan Masa Hadapan'.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah mengongsikan perkara tersebut semasa Rang Undang-undang Perbekalan Tahun 2026 / 2027 pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Tema ini jelas Yang Berhormat, ditetapkan untuk tempoh lima tahun akan datang kerana inilah fasa penentu atau dekad terakhir yang akan membentuk hala tuju negara menuju Wawasan Brunei 2035. Dalam tempoh ini, apa jua keputusan fiskal dan pelaburan yang kita buat mestilah menjadi pemangkin kepada momentum pembangunan negara.
Oleh itu, tambah Yang Berhormat lagi, belanjawan ini menuntut pelaburan yang strategik, menjana transformasi, inovatif dan berimpak tinggi, di samping penekanan kepada disiplin kewangan ataupun 'financial discipline'.
“Inilah saatnya untuk kita berfikir di luar kebiasaan (think outside the box), keluar daripada zon selesa, mempercepatkan perubahan, dan membina kekuatan baharu bagi negara.
“Belanjawan ini mengajak kita berpandangan lebih jauh ke hadapan, membuka laluan kepada kepelbagaian ekonomi, rakyat yang lebih berkemahiran, institusi yang lebih berdaya tahan dan masa depan yang lebih terjamin," terang Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai fokus pertama belanjawan, Yang Berhormat berkata, kita perlu beralih kepada pendekatan perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemah dan kos-efisien, dengan mengurangkan perbelanjaan yang tidak produktif dan memastikan setiap peruntukan benar-benar membawa hasil yang jelas kepada rakyat dan negara.
Ini termasuk semakan semula perbelanjaan asas, penelitian semula subsidi agar ia diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan sahaja dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Pada masa yang sama, tambah Yang Berhormat, kerajaan akan terus menilai kaedah pembiayaan dan pelaksanaan projek pembangunan dengan memanfaatkan Public–Private Partnership (PPP) serta meneruskan langkah pengkorporatan agensi atau entiti yang berdaya saing bagi meningkatkan perkhidmatan serta mengoptimumkan kos operasi dan ruang fiskal kerajaan dapat digunakan untuk keutamaan yang lebih kritikal.
Langkah ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Awal Tahun Masihi 2026 yang menekankan keperluan agar perkhidmatan kerajaan bergerak ke arah yang lebih dinamik, responsif dan berorientasikan pelanggan.
Sejajar dengan penekanan ini ujar Yang Berhormat, langkah pengkorporatan, penstrukturan semula serta penerokaan model baharu penyampaian perkhidmatan - termasuk melalui PPP - akan terus diperkukuh supaya mutu perkhidmatan meningkat, kos dapat dioptimumkan dan beban fiskal kerajaan dikurangkan.
Manakala fokus kedua belanjawan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh asas ekonomi negara melalui pemodenan, kepelbagaian dan inovasi. Yang Berhormat berkata, kebergantungan kepada sektor minyak dan gas menjadikan ekonomi terdedah kepada pasaran global yang tidak menentu.
Sejajar dengan Brunei Darussalam Economic Blueprint, tumpuan akan diperkukuh kepada lima sektor keutamaan sebagai penggerak utama usaha kepelbagaian ekonomi negara iaitu Sektor Hiliran Minyak dan Gas (Downtsream); Sektor Industri Makanan – khususnya agrimakanan dan akuakultur; Sektor Pelancongan; Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Sektor Perkhidmatan yang berimpak tinggi.
Bagi mempercepatkan pertumbuhan sektor-sektor keutamaan ini, kerajaan juga akan terus menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) berkualiti, di samping memperkukuh pelaburan domestik.
Yang Berhormat berkata, setakat Disember 2025, sebanyak 25 syarikat FDI telah mula beroperasi di negara ini dan mewujudkan lebih kurang 4,000 peluang pekerjaan, dengan hampir 48 peratus daripadanya diisi oleh anak tempatan.
Selain itu, tambah Yang Berhormat, sebanyak 18 projek FDI lagi sedang dalam fasa pelaksanaan dan dijangka menjana kira-kira 3,000 peluang pekerjaan apabila mula beroperasi sepenuhnya antara tahun 2026 hingga 2029.
Di samping itu, ujar Yang Berhormat, kerajaan juga akan terus memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) melalui latihan berfokus, akses pembiayaan yang lebih mudah, program 'business matching' serta bimbingan untuk memasuki sektor strategik seperti teknologi, pertanian moden, industri halal dan ekonomi digital.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan, Digital Brunei 2030 : Digital Brunei Transformation Plan akan dilancarkan sebagai pelan induk baharu yang akan meneruskan serta memperluaskan agenda transformasi digital negara selepas kejayaan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025.
Sementara itu, fokus ketiga belanjawan memberi penekanan kepada pembangunan sosioekonomi yang seimbang dan menyeluruh, dengan matlamat membina masyarakat yang berdaya tahan, sejahtera dan inklusif.
Menurut Yang Berhormat, kerajaan terus menyediakan peruntukan di bawah Perbelanjaan Berulang-ulang bagi memastikan infrastruktur asas, perkhidmatan kesihatan dan perlindungan sosial rakyat kekal terjamin.
Antara keutamaan utama ialah memperkukuh akses rakyat kepada sumber air bersih serta memastikan infrastruktur bekalan air terus dipelihara. Selain itu, usaha meningkatkan keselamatan jalan raya dan aksesibiliti juga akan diteruskan melalui projek pemeliharaan jalan raya serta penaiktarafan laluan strategik di seluruh negara bagi melancarkan pergerakan rakyat dan menyokong aktiviti ekonomi serta sosial.
Kerajaan turut memastikan bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi ke seluruh kawasan, termasuk memastikan kesemua stesen jana kuasa beroperasi pada tahap 'reliable', dan memperkukuh sistem rangkaian pembahagian elektrik ke seluruh negara.
Dalam sektor kesihatan jelas Yang Berhormat lagi, kerajaan kekal komited menyediakan perlindungan kesihatan yang inklusif dan bertaraf tinggi. Penambahbaikan akan meliputi infrastruktur, pengukuhan kapasiti sumber manusia, serta peralihan kepada pendekatan pencegahan dan promosi kesihatan. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, bahkan membantu mengurangkan beban kos rawatan dalam jangka panjang.
Ke arah itu, jelas Yang Berhormat, kerajaan akan menyediakan peruntukan di bawah Perbelanjaan Berulang-ulang bagi sektor Kesihatan antaranya untuk membiayai pemeliharaan sistem BruHealth dan Bru-HIMS; pengambilan tenaga kerja profesional; pembelian ubat-ubatan, peralatan perubatan guna habis dan keperluan ujian makmal; perkhidmatan rawatan penyakit kritikal serta menangani isu kesihatan masyarakat yang kritikal.
Dalam masa yang sama, perlindungan sosial akan terus diperkukuh. Skim bantuan yang sedia ada akan dikaji dan diperhalusi supaya lebih tepat sasaran, khususnya bagi golongan rentan seperti warga emas, Orang Kelainan Upaya dan isi rumah berpendapatan rendah.
Dalam usaha memperkukuh sokongan kepada keluarga serta memastikan kesejahteraan rakyat bermula sejak peringkat awal kehidupan, kerajaan telah memperkenalkan Skim Tabungan Anak Damit yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026.
“Melalui skim ini, setiap anak-anak damit yang baru lahir yang mempunyai kewarganegaraan (citizenship) tertentu, akan menerima sumbangan kewangan berjumlah BND240 yang dikreditkan ke dalam akaun khas bagi menggalakkan amalan menabung sejak kecil serta membantu ibu bapa dalam memenuhi keperluan asas anak," terang Yang Berhormat.
Ke arah itu tambah Yang Berhormat, peruntukan terus disediakan antaranya untuk pemberian Bantuan Kebajikan Bulanan dan pembayaran anuiti di bawah Skim Persaraan Kebangsaan (SPK).